BAU: Pendidikan di Daerah Bau disaran bergerak seiring visi pembangunan berimpak tinggi The Greater Bau sebagai pemacu utama melahirkan generasi masa depan yang kompeten, berdaya saing dan berjati diri.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, pendidikan harus menjadi tiang seri dalam membentuk hala tuju kemajuan Bau yang sedang pesat membangun melalui agenda tersebut.
“Daerah Bau sedang bergerak ke arah pembangunan yang lebih pesat melalui agenda The Greater Bau iaitu sebuah visi pembangunan berimpak tinggi yang menekankan kemajuan ekonomi, sosial, infrastruktur, dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam konteks tersebut, pendidikan adalah tiang seri yang akan menentukan arah kemajuan Bau pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau 2024 di sini, pada Jumaat.
Datuk Henry Harry menegaskan harapannya agar daerah itu muncul sebagai antara peneraju kecemerlangan pendidikan di Sarawak dengan sekolah berperanan sebagai pusat pembangunan bakat, inovasi dan kepimpinan muda.
Menurutnya, usaha tersebut menuntut pemerkasaan guru melalui latihan dan sokongan profesional, kerjasama lebih mantap antara sekolah, komuniti serta industri, selain memastikan tiada murid tercicir atau potensi yang tidak digilap.
“Daerah Bau harus bangkit bukan sahaja sebagai daerah yang indah dengan warisan dan budaya, tetapi juga daerah yang unggul dalam pendidikan,” ujarnya.-EDISI UKAS