KMKK Poyut Lubuk Nibung Sertai Lawatan Ke Parlimen Malaysia & DUN Sarawak
KUCHING: Seramai 30 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan Pembangunan Poyut Lubuk Nibung, Marudi menyertai lawatan sambil belajar ke Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.
Lawatan berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman tentang sistem pentadbiran serta proses penggubalan dasar di peringkat negeri dan persekutuan.
Rombongan lawatan diketuai Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, bersama Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi selaku pegawai pengiring, Fazzwan Yunus.
Di Parlimen Malaysia, peserta diberi pendedahan mengenai fungsi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, proses penggubalan undang-undang, serta peranan institusi itu dalam menetapkan dasar di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, di DUN Sarawak, rombongan dibawa menelusuri proses kelulusan belanjawan negeri, penggubalan undang-undang negeri, serta mekanisme semak dan imbang terhadap dasar kerajaan negeri.
Selain kunjungan rasmi tersebut, peserta turut dibawa melawat beberapa lokasi penting di sekitar Kuching bagi menambah pengetahuan mengenai struktur pentadbiran dan pembangunan negeri.
Program anjuran Pejabat Daerah Marudi ini dilaksanakan bagi memperkukuh peranan KMKK sebagai pemimpin akar umbi, khususnya dalam menyampaikan dasar kerajaan dan menyokong usaha pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing.
Melalui pendedahan ini, KMKK diharap dapat meningkatkan kefahaman mereka sekali gus membantu memastikan penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.-EDISI UKAS