Khatam Al-Quran Asas Pembentukan Generasi Islam Berakhlak
MATU: Majlis Khatam al-Quran anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal bukan sekadar acara pengiktirafan kepada pencapaian murid, sebaliknya menjadi landasan penting dalam melahirkan generasi Islam yang memiliki akhlak terpuji, ilmu yang bermanfaat serta adab yang tinggi.
Ahli Parlimen Igan merangkap Pengerusi Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Ahmad Johnie Zawawi, berkata pembudayaan membaca dan memahami al-Quran perlu dijadikan amalan berterusan kerana ia menjadi tunjang dalam membentuk sahsiah pelajar, khususnya dalam kalangan anak-anak luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Khatam al-Quran dan Majlis Kecemerlangan Program Sahabat Sekolah IWK, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Johnie turut memuji usaha SK Bruan Mapal yang bukan sahaja memberi fokus kepada kecemerlangan akademik, tetapi turut menitikberatkan pembangunan rohani dan disiplin pelajar.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa peranan ibu bapa sebagai rakan pendidikan sangat penting dalam memastikan pembentukan karakter pelajar berjalan seiring dengan proses pembelajaran di sekolah.
“Kejayaan anak-anak tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata. Sokongan dan perhatian ibu bapa menjadi pelengkap kepada kejayaan mereka,” tegasnya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada SK Bruan Mapal dan RM14,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Daro, sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan kawasan tersebut.
Sementara itu, IWK turut menyumbangkan satu set ‘smartboard’ bagi memperkukuh pembelajaran digital sekolah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS