Lebih 100 Muslimah Sertai Bootcamp Solat 2025 Di Masjid Darul Furqan, Taman Malihah
KUCHING: Lebih dari 100 orang Muslimah daripada pelbagai pertubuhan, ahli kariah masjid dan individu yang berminat telah menyertai bootcamp solat reunion yang berlangsung di Masjid Darul Furqan, Taman Malihah pada Ahad.
Bootcamp anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sarawak ini diadakan susulan dua program yang sama telah diadakan di sini dan juga Masjid India Bandar Kuching sebelum kembali ke Masjid Darul Furqan untuk Majlis Penangguhan Bootcamp Solat 2025.
Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Sarawak Zabariah Matali berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan masjid-masjid kerana merupakan institusi penting yang berperanan sebagai pemimpin di peringkat komuniti.
Jelasnya, kerjasama dengan pemimpin masyarakat di akar umbi diyakini dapat membantu memperluas penyampaian maklumat, khususnya melibatkan aspek-aspek ibadah dalam kalangan Muslimah.
"Pengisian Bootcamp memfokuskan kepada sesi 'menyegar kembali' berkaitan kewajipan solat, penghayatan kepentingan solat-solat sunat serta panduan menunaikan solat ketika sakit.
"Bootcamp ini juga menekankan pembetulan bacaan dalam solat sebagai usaha memperkemaskan amalan harian peserta manakala sesi hafazan sebagai sebahagian daripada pengisian Bootcamp Solat," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penangguhan program tersebut.
Selain bekerjasama dengan masjid sedia ada, Zabariah memberitahu, PERKIM Cawangan Sarawak turut merancang untuk menjalinkan kolaborasi dengan lebih banyak masjid di sekitar Kuching bagi memastikan penyertaan dan manfaat program dapat diperluas kepada lebih ramai peserta.
Tambahnya, PERKIM Cawangan Sarawak turut bercadang untuk memperluaskan pelaksanaan Bootcamp Solat pada tahun hadapan dengan memberi fokus kepada penyertaan golongan remaja, khususnya remaja perempuan.
Selain itu ujarnya, mereka juga merancang penglibatan sekolah-sekolah tertentu yang akan dikenal pasti namun penyertaan pelajar memerlukan perbincangan lanjut bersama guru besar memandangkan program yang melibatkan sekolah memerlukan kebenaran rasmi daripada Kementerian Pendidikan.
Hadir sama, Imam 1 Masjid Darul Furqan Hairani Pabilah, Pengerusi Masjid Darul Furqan Mashap Alek dan Ahli Jawatankuasa Masjid India Bandar Kuching Fadhillah Jahabardeen. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz