Integrasi Budaya Melanau Diperkukuh Melalui Pesta Besaug Dalat 2025
DALAT: Pesta Besaug Dalat 2025 sekali lagi menyerlah sebagai platform penting dalam memperkukuh identiti dan integrasi budaya Melanau apabila pelbagai acara tradisi dan moden berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh perpaduan dan kemeriahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata penganjuran tahun ini menzahirkan kekuatan budaya Dalat yang terus terpelihara melalui penglibatan aktif semua lapisan masyarakat.
Beliau turut memuji dedikasi jawatankuasa penganjur yang bekerja keras dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, merangkumi aspek logistik, keselamatan dan pengurusan peserta.
“Kejayaan pesta yang berlangsung sejak 22 November ini adalah hasil komitmen dan kerjasama erat jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta komuniti setempat dalam memastikan setiap pengisian bukan sahaja berjalan lancar tetapi memberi impak kepada usaha memartabatkan budaya tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert dalam majlis penutupan Pesta Besaug 2025, di Waterfront Dalat, pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berharap, semangat kerjasama dan perpaduan yang ditonjolkan sepanjang penganjuran tahun ini dapat diteruskan dan menjadi contoh untuk edisi akan datang.
Pesta Besaug Dalat 2025 turut mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan Melanau termasuk bengkel tarian Melanau, persembahan bermukun, serta Pertandingan Perahu Bidar, acara tradisi yang paling dinantikan setiap tahun.
Selain seni dan adat, pesta tersebut juga menyediakan platform penyertaan untuk kanak-kanak dan belia melalui pertandingan mewarna, Putera & Puteri Besaug, E-Sukan, serta kursus keusahawanan, sekali gus menyemai minat terhadap budaya dan kegiatan komuniti sejak usia muda.
Usahawan tempatan turut menerima manfaat menerusi gerai jualan dan program Puyan Dalat, yang membantu merancakkan ekonomi setempat sepanjang penganjuran.
Secara keseluruhan, Pesta Besaug terus memainkan peranan sebagai jambatan budaya, menyatukan generasi muda dan dewasa dalam usaha memahami, menghayati, dan meneruskan identiti masyarakat Melanau.-EDISI UKAS