Pengakap Samarahan Raikan Legasi 111 Tahun Dengan Anugerah Gemilang & Pengkalungan Rambu
KUCHING: Majlis Pengakap Daerah Samarahan (MPDS) meneruskan tradisi kecemerlangan apabila mengadakan Majlis Jamuan Tahunan PPM Daerah Samarahan, yang turut disertai Majlis Penganugerahan Pingat Peringatan 111 Tahun Pengakap Sarawak dan Majlis Pengkalungan Rambu Pengakap Kanak-Kanak 2025 di sini pada Ahad.
Timbalan Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi MPDS, Rais Ahmat menegaskan bahawa majlis tersebut bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform mengiktiraf jasa para pemimpin dan pencapaian ahli pengakap di peringkat daerah.
“Penganugerahan Pingat Peringatan 111 Tahun membawa makna besar kerana ia melambangkan penghargaan terhadap dedikasi pemimpin yang setia memartabatkan gerakan pengakap di Sarawak,” katanya.
Beliau menambah bahawa nilai teras pengakap seperti disiplin, kesediaan dan tanggungjawab kekal relevan meskipun dunia semakin moden dengan prinsip ‘Be Prepared’ memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan keyakinan generasi muda menghadapi cabaran semasa.
Majlis menyaksikan 21 pemimpin pengakap menerima Pingat Peringatan 111 Tahun manakala 11 lagi menerima pingat gangsa.
Majlis turut meraikan generasi pelapis dengan penyampaian Pengkalungan Rambu Pengakap Kanak-Kanak 2025 kepada 11 ahli dari kawasan Samarahan dan Asajaya. Pengkalungan disempurnakan oleh John Lim Boon Beng, sebagai pengiktirafan awal terhadap komitmen dan pencapaian mereka dalam dunia kepengakapan.
Penganugerahan tersebut dianggap simbol kejayaan awal serta dorongan untuk membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya kepimpinan. -EDISI UKAS