23 Pelajar Sikura Piramin Terima Sijil Tamat Pra-Sekolah
PADAWAN: Seramai 23 pelajar Sikura Piramin (Taska Warisan) Bidayuh Biatah DBNA Kampung Segu Bunuk menerima sijil tamat pra-sekolah masing-masing dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Pra Krismas 2025 di Dewan Serbaguna Kampung Segu Bunuk pada Ahad.
Majlis disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong yang mewakili Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau menekankan pendidikan awal seperti yang ditawarkan oleh Sikura Piramin adalah asas pembentukan modal insan berkualiti.
“Saya menyeru ibu bapa untuk menyediakan persekitaran pembelajaran positif di rumah dan menyokong perkembangan sahsiah serta identiti anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi penekanan kepada usaha memelihara bahasa dan budaya Bidayuh agar tidak hilang ditelan arus pembangunan.
Menurutnya, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) harus memimpin inisiatif pendokumentasian tarian, kraf, dan motif tradisional sebagai legasi rasmi masyarakat Bidayuh untuk generasi akan datang. -EDISI UKAS