170 Penduduk Singai Sertai Jejak Nostalgia Sebelum Projek Jalan Musi–Buso Bermula
BAU: Kira-kira 170 penduduk Singai menyertai program nostalgia menelusuri laluan lama Musi-Buso yang berusia lebih satu abad, sebelum kerja-kerja pembinaan Jalan Musi-Buso bernilai RM73 juta dimulakan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, program ‘Walk Down The Memory Lane: Musi-Buso Walk’ itu diadakan sebagai penghormatan kepada generasi terdahulu yang bergantung pada laluan tersebut sebagai nadi pergerakan mereka untuk bersekolah dan mendapatkan keperluan harian.
“Dahulu, masyarakat Singai berjalan dari kawasan pergunungan ke Musi dan seterusnya ke Buso. Mereka perlu menyeberangi sungai dengan sampan sebelum menaiki bas ke Bau.
“Keseluruhan perjalanan mengambil masa dua hingga tiga jam sehari,” katanya dalam program tersebut pada Ahad.
Datuk Henry menambah, laluan Musi-Buso suatu ketika dahulu menjadi simbol perpaduan antara komuniti Bidayuh, Cina dan Melayu yang hidup dalam semangat kekeluargaan.
Mengulas lanjut mengenai pembinaan jalan Musi-Buso, beliau memberitahu, projek tersebut telah dimulakan namun ditangguh sementara waktu susulan kerja menebang pokok di beberapa bahagian bagi memelihara tinggalan laluan sejarah itu.
Ujarnya, projek jalan baharu sepanjang 3.7 hingga 4 kilometer itu turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan konkrit baharu akan menghubungkan Musi dan Buso ke Bau serta seterusnya ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan dan kerja-kerja pembinaan dijadual bersambung semula esok,” kata beliau. -EDISI UKAS