1.223 Juta Hektar Tanah NCR Diukur Di Bawah Inisiatif Baharu Setakat Oktober 2025
KUCHING: Kira-kira seluas 1,223,646 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjaya diukur di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu setakat 31 Oktober 2025.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka yang sahih dan diwujudkan selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada.
”Daripada jumlah itu, seluas lebih kurang 947,442 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak di mana kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan Kementerian Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak turut memberi fokus kepada lot individu bagi pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak untuk kawasan yang telah diwartakan berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut.
“Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 107,467 lot individu telah berjaya diukur, melibatkan kawasan seluas 127,016 hektar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” ujarnya lagi.
Bagi mempercepatkan pengukuran ini, beliau menyeru kepada penuntut tanah untuk hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar. -EDISI UKAS