84 Projek SPS & SPK Diluluskan, Sediakan 8,564 Lot Kediaman Baharu Kepada Rakyat
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan 84 projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek ini akan menyediakan sebanyak 8,564 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM1.581 bilion.
“Daripada 84 projek tersebut, 28 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 54 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMKe-12 serta dalam RMKe-13.
“Sementara itu, dua projek lagi mendapat bantahan di lapangan dan tidak dapat dilaksanakan,” jelasnya dalam sesi penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak turut menambah baik polisi ini dengan memperkenalkan pembangunan infrastruktur spesifikasi baharu dilaksanakan yang melibatkan jalan raya yang berturap, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik di SPS dan SPK melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.
“Atas keprihatinan Kerajaan Sarawak, bayaran premium tanah bagi setiap lot ditetapkan tidak melebihi RM2,500 dan pembayarannya boleh dibuat secara ansuran tahunan sehingga 10 tahun,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu katanya, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) turut melaksanakan pembangunan rumah mampu milik di bawah SPK, Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) dan Bandar Baru Sebuyau.
"Sehingga kini, sebanyak 1,253 unit rumah mampu milik telah diluluskan dan kini berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan," katanya. -EDISI UKAS