Belanjawan 2026 Perkukuh Agenda Pembangunan Inklusif Sarawak
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM12.9 bilion akan terus memperkukuh agenda pembangunan inklusif selaras dengan penekanan Premier Sarawak untuk memastikan setiap komuniti di negeri ini tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, belanjawan tersebut merangkumi fokus seimbang terhadap pembangunan fizikal, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
“Jadi, kalau kita lihat dari segi skop yang telah diliputi dalam belanjawan ini ialah merangkumi semua bidang, sama ada di peringkat bandar ataupun luar bandar.
“Apa yang telah kita lihat dari segi penekanan beliau (Premier Sarawak) ialah untuk memastikan tiada kawasan atau orang yang tertinggal di dalam daripada menikmati atau mendapat manfaat daripada belanjawan ini,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Jelasnya, peruntukan yang diumumkan oleh Premier Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan bandar dan luar bandar, termasuk Skim Pembesaran Kampung (SPK), Skim Pendapatan Semula (SPS), pemeliharaan alam sekitar serta pendidikan, terutama untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Dalam aspek pembangunan katanya, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang diketuainya selaku Pengerusi telah menyiapkan hampir 90 projek sejak tiga tahun penubuhannya dan akan melaksanakan 30 lagi projek baharu melibatkan bahagian Mukah, Sarikei, Sibu dan kawasan lain yang memfokuskan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, rumah ibadat, Anjung Usahawan dan projek tebingan sungai.
Ujarnya, tumpuan pembangunan tahun hadapan merangkumi projek infrastruktur seperti Pantai Belawai, Waterfront Kampung Rajang dan Anjung Usahawan di Sarikei serta pelbagai projek lain di Julau, Pakan, Mukah, Balingian, Dalat, Matu dan Daru, dengan semua peruntukan tersebut menepati piawaian komuniti masa hadapan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Mengulas cabaran pelaksanaan, beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak berdepan masalah kewangan, sebaliknya kekangan utama adalah keupayaan agensi pelaksana menyiapkan projek mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.
Dalam hal ini, beliau menekankan perlunya kerjasama erat antara semua agensi kerajaan, termasuk Jabatan Tanah dan Survei, Setiausaha Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) dan lain-lain agensi berkaitan bagi memastikan rantaian pelaksanaan projek tidak terganggu.
"Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan kelancaran jadual dan mengelakkan kenaikan kos projek, terutama bagi projek-projek yang telah disahkan dan diberikan aliran tunai sewajarnya oleh kerajaan negeri," ujarnya lagi.- EDISI UKAS