Sarawak Ke Arah Liputan Penuh Bekalan Elektrik Luar Bandar
KUCHING: Sarawak terus melangkah ke arah liputan penuh bekalan elektrik luar bandar melalui pelaksanaan projek strategik yang melibatkan pelaburan besar oleh Kerajaan Sarawak dan Sarawak Energy.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata sebanyak RM2.49 bilion telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Alternative Funding bagi melaksanakan 214 projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di seluruh negeri.
“Daripada jumlah tersebut, 179 projek atau 83.6 peratus telah siap sepenuhnya yang memberi faedah kepada 59,698 isi rumah.
"Manakala baki 35 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut meluluskan RM46 juta untuk menyokong pelaksanaan projek seperti Additional and Late Applicant Fund (ALAF), sambungan SARES ke grid, penggantian bateri serta naik taraf bekalan elektrik di kawasan sasaran.
Jelasnya, Sarawak berada dalam fasa akhir mencapai liputan penuh elektrik luar bandar, namun beberapa kawasan masih menunggu syarat teknikal dan pelaksanaan projek sokongan.
“Antara kekangan ialah menunggu siapnya pembinaan jalan, penempatan baharu serta penyelesaian isu izin lalu sebelum talian pengagihan dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Bagi program ALAF, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM315 juta bagi fasa 1 hingga 4 yang melibatkan 21,073 isi rumah.
“Setakat ini, 20,065 isi rumah atau 95.2 peratus telah siap dilaksanakan manakala selebihnya sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” ujarnya.
Untuk meneruskan ALAF Fasa 5, peruntukan tambahan RM126 juta telah diluluskan untuk membekalkan elektrik kepada anggaran 5,800 pemohon baharu di seluruh Sarawak, ujarnya lagi.
Dalam usaha menambahbaikan sistem bekalan elektrik, Sarawak Energy sedang melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan termasuk pembinaan talian pengagihan berteknologi Medium Voltage Covered Conductor (MVCC), Double Circuit Monopole, pencawang 33/11kV baharu dan menaik taraf transformer.
Setakat ini katanya, 273 kilometer talian MVCC telah siap di seluruh Sarawak berbanding 244 kilometer yang dimaklumkan pada persidangan lalu.-EDISI UKAS