Rooftop Solar: Kerajaan Sarawak Sedia Subsidi RM11.24 Juta
KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh peranan sebagai hab tenaga hijau rantau ini diperkasakan lagi dengan peruntukan RM11.24 juta bagi subsidi pemasangan sistem rooftop solar domestik, sekali gus membuka peluang lebih ramai rakyat beralih kepada tenaga bersih.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, melalui Skim Net Energy Metering (NEM), inisiatif tenaga boleh diperbaharui paling signifikan pernah diperkenalkan kepada rakyat, pemberian subsidi ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk merakyatkan agenda tenaga lestari.
“Subsidi RM11.24 juta ini adalah pelaburan terus kepada rakyat agar lebih ramai mampu memasang sistem solar di rumah.
"Kita mahu tenaga bersih menjadi amalan biasa dalam setiap kediaman di Sarawak,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Beliau menambah, langkah besar ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan peralihan kepada tenaga bersih, malah memastikan rakyat turut menikmati manfaat teknologi hijau yang sebelum ini lebih banyak diterajui sektor industri.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri melalui Sarawak Energy Berhad menyediakan subsidi khusus bagi sistem solar domestik, dengan kos pemasangan bagi sistem berkapasiti 4 kWp dianggarkan antara RM15,000 hingga RM20,000.
"Pemilik rumah jenis landed layak menerima subsidi antara RM8,000 hingga RM12,000 bergantung kepada kapasiti sistem yang dipasang.
"Inisiatif ini terpakai untuk pemasangan yang dilakukan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026 dan diberikan mengikut prinsip 'first come, first served'," jelasnya lagi.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, permohonan untuk subsidi ini akan dibuka mulai Januari 2026, sama ada secara fizikal di kaunter Sarawak Energy atau melalui platform dalam talian.
“Dengan bantuan ini, kos pemasangan dapat dikurangkan hampir separuh. Ini membolehkan lebih ramai keluarga menikmati penjimatan bil elektrik dalam jangka panjang,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, setakat ini 35 sistem NEM berkapasiti 867 kWp telah beroperasi, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 16 sistem pada penghujung 2024.-EDISI UKAS