MUT Sasar 140 Projek Naik Taraf Paip Air Lama Bermula Tahun Hadapan
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menyasarkan sekurang-kurangnya 140 projek baharu bagi menaik taraf dan menggantikan saluran paip air lama serta uzur untuk dimulakan pembinaannya pada tahun hadapan.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, inisiatif besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada Program Menaik Taraf dan Penggantian Paip Lama/Uzur yang kini dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kualiti rangkaian bekalan air serta mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) di seluruh Sarawak.
Menurutnya, program berfasa selama lima tahun itu melibatkan 2,740 kilometer saluran paip dan peruntukan RM1.1 bilion daripada Kerajaan Sarawak.
“Setakat ini, 23 projek telah siap, manakala 33 projek berada dalam pelbagai peringkat pembinaan dan 220 projek lagi dalam peringkat pra-kontrak.
"Bagi tahun hadapan, kementerian saya menyasarkan sekurang-kurangnya 140 projek baharu akan dimulakan pembinaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Program berkenaan dijangka memperkukuh infrastruktur air negeri secara signifikan, sekali gus meningkatkan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat.-EDISI UKAS