Projek Paip Alternatif RM7 Juta Sinar Baharu Penduduk Di Jagoi
BAU: Projek paip alternatif yang baru dilancarkan dengan dana RM7 juta akan memberi sinar baharu kepada penduduk di sekitar Jagoi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek ini akan menyelesaikan masalah tekanan bekalan air rendah yang telah lama membelenggu penduduk di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata, projek ini dilaksanakan setelah sistem bekalan air sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan penggunaan air, sekali gus menyebabkan tekanan rendah dan gangguan bekalan terutama ketika musim perayaan.
"Daripada jumlah peruntukan RM7 juta yang diluluskan, sebanyak RM5 juta telah ditenderkan dan kerja-kerja pembinaan bermula hari ini. Projek dijangka siap dalam tempoh lima bulan, iaitu sebelum perayaan Gawai.
"Projek ini melibatkan pembinaan saluran paip tambahan dari Bau, mewujudkan dua laluan bekalan masing-masing di sebelah kiri dan kanan jalan dengan kapasiti keseluruhan dua juta liter air sehari," ujarnya ketika melancarkan projek tersebut di sini, pada Selasa.
Datuk Henry menambah, laluan paip baharu ini juga akan menampung keperluan penduduk Jagoi dan seterusnya menyokong bekalan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin apabila ia beroperasi kelak.
Jelasnya, paip baharu ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif untuk memastikan bekalan air tidak terputus sekiranya berlaku kebocoran pada saluran lama.
"Dengan dua laluan berasingan, tekanan air dapat dikekalkan tanpa gangguan, sekali gus menghindari masalah kekurangan air seperti yang sering berlaku sebelum ini.
“Masalah ini telah berlarutan selama bertahun-tahun. Dengan projek ini, kita yakin isu tekanan rendah dan gangguan bekalan, terutamanya ketika musim perayaan, dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, dianggarkan sekitar 3,000 penduduk di kawasan Jagoi akan menerima manfaat daripada projek tersebut.
Malah jelasnya, setelah ICQS Serikin beroperasi, kapasiti pengguna dijangka mencecah sehingga 5,000 orang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Penolong Jurutera Air Bahagian (Pembangunan) Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Ts Siet Ung Wu. -EDISI UKAS