Cukai Taksiran Di Sarawak Tidak Berubah Sejak 1970
KUCHING: Cukai Taksiran (assessment rate) di Sarawak antara yang paling terendah memandangkan ia tidak pernah berubah sejak tahun 1970 walaupun kos operasi dan perkhidmatan awam meningkat sepanjang tempoh tersebut.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian mengambil contoh kadar letak kereta di Sarawak masih lagi dicaj 20 sen di setiap majlis tempatan biarpun berpuluh tahun berlalu.
Jelasnya, ramai majlis tempatan di pelbagai negeri telah menaikkan cukai pertaksiran mereka sehinggakan kadar letak kereta mampu mencecah RM1 sejam.
"Tetapi mengapa kita melakukan semua ini, kerana semua ahli majlis dan semua pihak yang terlibat bekerja keras untuk membantu rakyat, bagi memastikan kos sara hidup tidak meningkat," katanya dalam Majlis Anugerah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim turut menyeru agar majlis tempatan terus mengekalkan standard tinggi terutamanya dalam pelan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dilaksanakan di Sarawak.
Beliau yang juga Menteri MPHLG menjelaskan, pelaksanaan tersebut memang sudah berada di atas purata kebangsaan namun perlu mengekalkan standard tersebut yang diistilahkan sebagai standard 'Hutan Borneo' yang lebih tinggi.
"Perkara yang penting ialah Pelan Hala Tuju SDG Sarawak kita sama ada majlis bandar raya, majlis perbandaran atau majlis daerah luar bandar mesti berada di atas purata kebangsaan.
"Di atas purata kebangsaan bermaksud apa? Ia bermaksud kita lebih baik daripada 50 peratus, jika tidak lebih tinggi.
"Standard 'Hutan Borneo ini penting kerana apabila Sarawak bergerak ke hadapan, Sarawak menjelang 2030 akan menjadi sangat berbeza berbanding hari ini," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri MPHLG Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Datuk Dr Penguang Manggil, Setiausaha Tetap MPHLG Datu Elizabeth Loh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Cr Tan Kai. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Mohd Hisyam Arif