Projek KAM RM1 Juta Diserah Kepada Kampung Piasau Utara
MIRI: Penduduk Kampung Piasau Utara menerima limpahan manfaat pembangunan apabila Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) bernilai RM1 juta secara rasmi diserahkan oleh Kementerian Digital, sekali gus menandakan komitmen kerajaan memperkukuh kemudahan asas, pengurusan komuniti dan literasi digital di kawasan berkenaan.
Majlis penyerahan projek disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar bersama Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad dalam satu program di Dewan Serbaguna Kampung Piasau Utara, pada Selasa.
Peruntukan RM1 juta di bawah inisiatif KAM itu merangkumi baik pulih Masjid Darul Hijrah, Holy Rosary Chapel serta Dewan Serbaguna Kampung Piasau Utara.
Turut dilaksanakan ialah pemasangan lampu solar LED di laluan utama kampung, manakala sebuah van jenazah baharu beserta peralatan sokongan diserahkan kepada JKKK bagi meningkatkan pengurusan komuniti.
Menurut Fabian suntikan dana tersebut bukan sekadar menaik taraf fasiliti fizikal, tetapi turut membawa agenda peningkatan keupayaan masyarakat.
Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Kursus AI for MyFuture bagi memberi pendedahan asas teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada penduduk, selari dengan aspirasi Digital dan MADANI.
Pelaksanaan KAM diharap menjadi pemangkin peningkatan kualiti hidup, memperkukuh perpaduan masyarakat serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat, menjadikan Kampung Piasau Utara model komuniti maju, progresif dan berdaya saing.-EDISI UKAS