SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) dan Institut Wartawan Rejang (IRJ) menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 masing-masing bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program bagi tahun hadapan.
Geran tersebut diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng di Pusat Khidmat Bukit Assek di sini, pada Selasa.
Dalam majlis berkenaan, beliau memberi ruang kepada rakan media dan ahli persatuan untuk mengemukakan pandangan serta menyuarakan isu berkaitan pembangunan setempat.
Jelas beliau, setiap isu yang dibangkitkan akan diteliti sebelum dibawa ke perhatian Kerajaan Sarawak melalui persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.
Selain itu, Joseph turut berkongsi perkembangan terkini mengenai Projek Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek, yang disifatkannya menunjukkan perkembangan positif.
Namun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai butiran pelan berkenaan, sambil menegaskan bahawa maklumat terperinci akan diumumkan pada peringkat kerajaan negeri.-EDISI UKAS