SRI AMAN: Pendidikan merupakan pelaburan terpenting untuk masa depan anak-anak, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata pelaburan ini memerlukan usaha gigih, disiplin dan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta komuniti.
“Saya menyeru ibu bapa agar terus memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dalam menjayakan program akademik, kerana pencapaian murid sangat bergantung kepada hubungan erat antara rumah dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, di sini, pada Selasa.
Menurut Datuk Mong, keutamaan terhadap subjek-subjek Program Dwibahasa (DLP) seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris dapat membuka ruang yang lebih luas kepada anak-anak Bumiputera untuk melangkah ke bidang kerjaya berpendapatan tinggi seperti kejuruteraan, teknologi, kesihatan dan sains gunaan.
“Pendidikan hari ini menentukan peluang mereka esok. Jika kita mahu anak-anak kita berdiri sama tinggi dengan pelajar bandar, sokongan ibu bapa amatlah penting,” katanya lagi.
Di kesempatan itu juga, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kem Pakit bagi membantu melancarkan pelbagai aktiviti pendidikan pada tahun hadapan.
Turut hadir Pegawai Pemerintah 13 Renjimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Umar dan Guru Besar SK Kem Pakit Ahmad Faizal Osman. -EDISI UKAS