Sarawak Tingkat Kecekapan Pelabuhan Melalui Inisiatif Pemodenan Strategik
KUCHING: Usaha pemodenan dan peningkatan kecekapan pelabuhan di Sarawak terus dipacu menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi memastikan operasi logistik negeri kekal cekap dan berdaya saing.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beberapa penambahbaikan utama sedang dan akan dilaksanakan di Pelabuhan Kuching dan Miri.
“Di Pelabuhan Kuching, kecekapan operasi telah ditingkatkan melalui penambahbaikan kapasiti limbungan dengan limbungan kenderaan baharu, dengan kapasiti tambahan dirancang pada tahun 2026.
“Sambungan dermaga sepanjang 250 meter dan limbungan berkaitan dijadualkan siap pada tahun 2027. Inisiatif pendigitalan telah diperkenalkan seperti ‘Electronic Convoy Note’ yang mengurangkan masa penghantaran kontena di pintu masuk.
“Malaysia Maritime Single Window beroperasi sepenuhnya yang telah membawa kepada pelepasan kapal yang lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, di Pelabuhan Miri pula, pembinaan training bund dan kerja berkaitan di Kuala Baram mencatat kemajuan cemerlang dan dijangka siap tiga bulan lebih awal menjelang akhir 2026.
Beliau menjelaskan, infrastruktur ini membolehkan pemindahan operasi pengendalian kargo dari Sungai Miri ke Terminal Kuala Baram, serta menyokong usaha mewujudkan zon bebas bagi pengembangan aktiviti minyak dan gas.
Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut memaklumkan bahawa Terma Rujukan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak kini pada peringkat akhir dimuktamadkan, dan kajian tersebut disasarkan untuk disiapkan pada tahun 2027.
“Matlamat Pelan Induk Pelabuhan Sarawak adalah untuk meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo serta sebagai hab logistik serantau yang berdaya saing,” tambahnya.-EDISI UKAS