SEBUYAU: Majlis Hari Apresiasi Kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas Parlimen Batang Lupar telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Pembangunan Sebuyau melibatkan kehadiran seramai 200 orang, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Batang Lupar ini menghimpunkan penyertaan 114 orang kanak-kanak TABIKA berumur 6 tahun, 19 orang kanak-kanak TASKA, serta 78 orang peserta Tahfiz dari seluruh kawasan Parlimen Batang Lupar.
Majlis dirasmikan oleh Louis Andria Barieng mewakili Pegawai Daerah Sebuyau dan turut dihadiri Puan Maimunah Latip wakil Pengarah KEMAS Sarawak serta Penghulu Abu Seman Suhaili, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau.
Dalam ucapan perasmiannya, Louis menekankan bahawa pendidikan awal ialah asas penting membentuk individu yakin diri, kreatif dan berkemahiran sosial, dengan peranan guru serta sokongan ibu bapa menjadi kunci melahirkan generasi berkualiti.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak atas komitmen memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik, sambil menyatakan bahawa usaha KEMAS mampu mencungkil bakat awal dan menjadi asas melahirkan pemimpin masa depan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada semua kanak-kanak TABIKA, TASKA serta peserta Tahfiz termasuk pengiktirafan khas kepada 19 peserta yang berjaya menghafaz 20 surah Juzuk Amma.
Program ini bukan sahaja meraikan pencapaian pendidikan awal, tetapi turut mengeratkan hubungan ibu bapa, komuniti dan KEMAS dalam membentuk generasi muda berakhlak dan berdaya saing.-EDISI UKAS-
Dilaporkan oleh:
Sahiza binti Yaman
UKAS Bahagian Samarahan