Program Grid Bekalan Air Sarawak Diperkukuh, Penyelesaian Menyeluruh Atasi Masalah Air Luar Bandar
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memperkukuh usaha mencapai liputan 100 peratus bekalan air bersih menjelang 2030 melalui pelaksanaan Program Grid Bekalan Air Sarawak, sebuah inisiatif holistik dan menyeluruh yang menyatukan sistem bekalan air antara seluruh bahagian negeri bagi memastikan perkhidmatan lebih stabil, terancang dan berdaya tahan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program tersebut dirangka sebagai pelan jangka panjang melibatkan beberapa fasa bermula tahun 2020 sehingga 2040 bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat sehingga tahun 2070.
“Sejajar dengan isu bekalan air yang kini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Program Grid Bekalan Air ini akan memberi fokus terlebih dahulu kepada kawasan-kawasan yang kritikal
“Oleh yang demikian, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tin Datuk Abang Openg telah memberi peruntukan sebanyak RM 4 billion yang mana dana ini membabitkan perlaksanaan projek-projek yang membabitkan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip, serta inisiatif pemodenan dan bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya Datuk Liwan Lagang semasa Majlis Apresiasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Tahun 2024 yang meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta pesara di Hotel UCSI Kuching pada Khamis.
Dato Sri Julaihi berkata apabila semua projek ini siap sepenuhnya, penduduk luar bandar yang berdepan isu bekalan air sejak sekian lama akan menerima manfaat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pencapaian JBALB sepanjang 10 tahun penubuhannya sebagai bukti keupayaan agensi itu menerajui transformasi perkhidmatan air luar bandar, terutama di bawah kepimpinan Pengarahnya, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
Jelasnya, sejak menerajui kementerian tersebut, beliau melihat sendiri perubahan besar JBALB ke arah perkhidmatan bekalan air yang lebih baik.
Justeru, beliau berkata, kementerian akan terus memberikan sokongan penuh kepada JBALB untuk memperkasa perkhidmatan air rakyat.
Dato Sri Julaihi turut menegaskan kepentingan respons pantas terhadap aduan rakyat, terutama dalam era digital di mana maklumat mudah tular walaupun belum disahkan.
Beliau menyeru JBALB memperkukuh penggunaan platform digital dan meningkatkan kerjasama dengan kementerian serta agensi air lain bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan menyeluruh.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran JBALB Schedule of Rates (SOR), dokumen rujukan standard yang meningkatkan ketelusan dan penyelarasan kos dalam pelaksanaan projek air.
SOR, katanya, bakal memudahkan proses penilaian projek, mengelakkan ketirisan dan memastikan semua pihak menggunakan kadar harga yang seragam dan mengikut piawaian jabatan.
Majlis ini turut meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta pesara JBALB bagi tahun 2024.-EDISI UKAS