UNIMAS Perkasa Pendidikan Komuniti Melalui Sekolah Angkat Madani Di SMK Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bergerak seiring dengan seruan kerajaan untuk memperkasakan komuniti dalam sektor pendidikan menerusi Inisiatif Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kota Samarahan.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, berkata program ini membuktikan komitmen universiti terhadap agenda pendidikan inklusif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut beliau, sokongan dana daripada kerajaan membolehkan UNIMAS melaksanakan pelbagai intervensi pendidikan yang memberi manfaat langsung kepada lebih 3,000 pelajar dan guru di sekolah berkenaan.
“Inisiatif Sekolah Angkat MADANI menampilkan tujuh projek intervensi berimpak tinggi dan antaranya ialah pemodenan bilik darjah melalui penyediaan 17 unit Google TV 65 inci bagi mengukuhkan pembelajaran digital, program MINDCARE yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan mental pelajar dan latihan sokongan rakan sebaya.
“Selain itu, kita juga menganjurkan program Junior Science Explorer bagi memupuk minat terhadap STEM serta program Pendidikan, Kesejahteraan dan Harapan Masa Hadapan yang memberi bimbingan akademik dan motivasi kepada pelajar dalam merancang kerjaya mereka,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Turut dilaksanakan ialah Program Intervensi Literasi Pelajar dan Motivasi Guru yang memperkukuh tahap literasi sekolah dan meningkatkan kompetensi guru, di samping program peningkatan kemahiran guru melalui Innovation in Teaching and Learning: Upskilling Teachers for Technology-Enabled Classrooms yang memberi latihan pengajaran abad ke-21 berasaskan teknologi digital.
PeTARY UNIMAS juga menyerahkan sumbangan buku ilmiah bagi merancakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan keyakinan UNIMAS terhadap Inisiatif Sekolah Angkat MADANI untuk menjadi platform kolaborasi penting antara universiti, sekolah dan kerajaan dalam membentuk masyarakat berilmu dan kompeten selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir, Pengetua SMK Kota Samarahan Kemeri Jalani, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri-Komuniti dan Kelestarian) Profesor Madya Ts Noraziah Abdul Wahab, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Abang Adam Abang Deli dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan Dr Rosdy Wahid. -EDISI UKAS