Sukan Jadi Platform Perkukuh Disiplin dan Perpaduan Belia
SRI AMAN: Golongan belia terus diberi ruang untuk tampil sebagai tonggak pembangunan masa depan menerusi platform sukan yang mampu membentuk disiplin, kepimpinan dan semangat perpaduan.
Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, penyertaan aktif belia dalam sukan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh hubungan dalam komuniti.
“Sukan merupakan platform penting bagi memupuk disiplin, kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Penglibatan mereka amat diperlukan bagi memastikan pembangunan komuniti dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Sri Aman (PESTASA) 2025 di Gelanggang RPR Sri Aman, pada Sabtu.
Dalam majlis itu, Dato Sri Doris turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada PESTASA sebagai sokongan terhadap usaha berterusan memperkasa pembangunan sukan sepak takraw di daerah ini.
Kejohanan edisi 2025 itu menyaksikan 20 pasukan bertanding merebut hadiah tunai RM1,000 yang menjadi tumpuan para belia dan komuniti setempat.-EDISI UKAS