IGAN: Seramai 112 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan diraikan dalam Majlis Apresiasi 2025 yang berlangsung di sekolah berkenaan pada Sabtu.
Majlis anjuran SMK Agama Igan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi sebagai simbol sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan pendidikan di kawasan Parlimen Igan.
Dalam ucapannya, Ahmad menegaskan bahawa pendidikan merupakan agenda yang tidak boleh dikompromi, sambil menggesa pelajar untuk terus menimba ilmu dan mengekalkan iltizam bagi masa depan yang lebih gemilang.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sekolah, beliau mengumumkan dana sebanyak RM10,000 bagi membantu usaha memperkukuh infrastruktur dan memperluas peluang pembelajaran pelajar.
Majlis berkenaan turut menyaksikan dedikasi para guru dan kakitangan sekolah, termasuk pengerusi majlis yang mengendalikan acara dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris yang melambangkan tradisi pendidikan menyeluruh di SMK Agama Igan.-EDISI UKAS