7 Institusi Bukan Islam & Sekolah Mubaligh Sarikei Terima Peruntukan UNIFOR
SARIKEI: Sebanyak tujuh institusi keagamaan bukan Islam dan sekolah mubaligh di kawasan Parlimen Sarikei menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM1,747,793.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Menurut beliau, peruntukan itu merupakan satu komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan institusi keagamaan bukan Islam serta sekolah mubaligh terus diperkasa demi manfaat masyarakat.
“Saya berharap semua penerima dapat memanfaatkan geran ini dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan pembangunan institusi keagamaan bukan Islam dan sekolah mubaligh,” katanya dalam majlis penyerahan peruntukan itu pada Sabtu.
Beliau turut menambah bahawa geran tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf, membaik pulih, pembinaan baharu serta pembelian kelengkapan bagi memenuhi keperluan setiap institusi.
“Ia melibatkan keperluan sekolah mubaligh, gereja serta persatuan. Langkah ini penting agar warga sekolah dan penganut agama dapat beribadah dan belajar dalam keadaan lebih selesa serta selamat,” ujarnya.
Antara institusi yang menerima geran tersebut ialah Bee Eng Methodist Church, Persatuan Agama Buddha Tantrayana, Lembaga Pengurusan SK Methodist Anglo-Chinese Sarikei, Lembaga Pengurusan SJK Su Kwong, SJK Su Lee Sarikei, Lembaga Pengurusan SMK Tong Hua serta Lembaga Pengurusan SJK(C) Tong Hua.
Pemberian geran tersebut membuktikan usaha berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, seterusnya memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Kr Stephen Wong Kie Yong, Pemanca Chan Phan Chan. Penghulu Huang Tiong Kang dan Kapitan Ling Dien Yong, bersama kira-kira 70 orang wakil komuniti dan penerima.-EDISI UKAS