GEDONG: Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 2025 mengangkat suara serta hak kanak-kanak sebagai keutamaan melalui pelbagai aktiviti pendidikan, seni dan kesedaran masyarakat yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Gedong.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, ketika merasmikan majlis tersebut menegaskan bahawa penganjuran program bertemakan ‘Hari Ini, Suaraku’ itu menjadi landasan penting bagi memastikan kanak-kanak diberi ruang mengembangkan potensi diri serta diperkasa dengan keyakinan seawal usia.
Menurut beliau, usaha kolektif antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, komuniti dan ibu bapa amat penting dalam membentuk generasi kanak-kanak yang berakhlak mulia dan penyayang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Rodiyah dalam pada itu turut berkongsi statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, yang merekodkan 572 kes melibatkan kanak-kanak dari Januari hingga Julai 2025, termasuk 118 kes dari Bahagian Samarahan, membabitkan isu pemeliharaan, perlindungan, jenayah dan keperluan intervensi pemulihan.
Beliau turut mengakui kecemerlangan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak, yang meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘The Largest Child Protection Advocacy Programme’ pada 23 November lalu, hasil pelaksanaan di 337 sekolah dan manfaat kepada 128,148 kanak-kanak sepanjang 2024.
“Melalui inisiatif ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) komited memastikan kanak-kanak terus dilindungi daripada penderaan fizikal, emosi, gangguan seksual, pengabaian, buli serta eksploitasi dalam talian,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi, wakil Pegawai Kebajikan Bahagian Samarahan Mohamad Iskandar Mohammed Tudin, Wakil Residen Bahagian Samarahan Janfytria Abu Bakar dan Pemanca Melayu Zon Gedong Proper Abang Ronnie Abang Sa’adeli. -EDISI UKAS