LUNDU: Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk terus melindungi generasi muda daripada ancaman digital.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, keselamatan digital kini menjadi keutamaan negara memandangkan kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko siber.
“Inisiatif keselamatan anak melalui pelan tindakan dasar dan kerjasama serantau seperti ‘ASEAN ICT Forum on Child Online Protection’ terus diperkukuh bagi melindungi generasi muda daripada ancaman digital.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Karnival Hari Kanak-Kanak Sarawak 2025, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga akan mengukuhkan hubungan komuniti melalui penglibatan ibu bapa, agensi kerajaan, sekolah dan organisasi keselamatan digital dalam usaha membina persekitaran yang lebih selamat, penyayang dan inklusif untuk semua kanak-kanak di Sarawak.
Mengulas mengenai program, Dato Sri Nancy memperingatkan masyarakat bahawa suara kanak-kanak perlu didengari, dihormati dan diambil kira dalam segala keputusan melibatkan pembangunan mereka.
Program berkenaan turut menyaksikan Pelantikan Ikon K-DAT SKMM yang baharu melibatkan tiga pelajar iaitu Ammar Faadhil, Fakhrullah Khairani dan Husna Zafirah, yang menerima rompi khas serta poster Kempen Internet Selamat.
Pelantikan ini mengiktiraf mereka sebagai duta kecil keselamatan siber yang berperanan menyebarkan mesej penggunaan internet secara beretika dan selamat, termasuk pencegahan buli siber, penipuan dalam talian dan penyebaran maklumat palsu.
Hadir sama, wakil Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Ali Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Sarawak Adiman Ajem, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Jimbau Munggat, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusof Awang Mostapha, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Mohammed Kamaluddin Mohd Affendie dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuching Aziah Seruji. -EDISI UKAS