KEMAS Jadi Tonggak Pembinaan Modal Insan Awal Di Limbang
LIMBANG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus membuktikan peranannya sebagai tunjang utama pembangunan modal insan apabila konsisten memperkasa pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di kawasan luar bandar Parlimen Limbang.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, komitmen berterusan KEMAS dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak seawal usia wajar dipuji kerana memberi kesan besar kepada pembentukan sahsiah dan kesejahteraan generasi masa depan.
Menurut beliau, pendidikan awal bukan sahaja asas kepada kecemerlangan akademik, malah penting dalam membentuk perkembangan menyeluruh merangkumi aspek sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Apresiasi TABIKA dan TASKA KEMAS Peringkat Parlimen Limbang 2025 yang berlangsung di Auditorium Hwa Zi, SJK Chung Hua Limbang, pada Ahad.
Datuk Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia menegaskan, kesinambungan program pendidikan awal seperti ini amat penting bagi memastikan anak-anak luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan nasional.
“Tahniah dan syabas kepada KEMAS atas penganjuran program ini. Usaha sebegini amat bermakna dalam melahirkan generasi awal yang seimbang dan berdaya saing, selari dengan aspirasi Luar Bandar Sejahtera,” katanya.
Hari Apresiasi tersebut melibatkan penyertaan dua kelas TASKA KEMAS dan 33 kelas TABIKA KEMAS dengan seramai 143 kanak-kanak menerima sijil penghargaan, manakala 35 orang lagi dianugerahkan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang.
Program ini antara lain bertujuan memupuk persaingan sihat dalam akademik dan kokurikulum, menggalakkan penglibatan aktif kanak-kanak dalam aktiviti pembangunan diri serta menyemai budaya kecemerlangan sejak usia muda.
Selain itu, ia turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara TABIKA dan TASKA KEMAS bersama ibu bapa serta komuniti setempat ke arah memastikan perkembangan awal kanak-kanak berada pada landasan terbaik.
Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman, Pengurus GIATMARA Limbang, Hanafi Abdul Rahman dan Penolong Pegawai Pertanian RISDA Bahagian Limbang, Mahadie Mokhtar.-EDISI UKAS