Jamuan Akhir Tahun SMK Bandar Bintangor Perkukuh Silatuhrahim Warga Sekolah
SIBU: Jamuan Akhir Tahun SMK Bandar Bintangor anjuran Kelab Kebajikan Sekolah bertujuan meraikan pencapaian sepanjang tahun, selain mengukuhkan hubungan silaturahim warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata majlis seumpama itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan profesional antara guru dan staf, malah memberi peluang untuk berkongsi pengalaman serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga sekolah.
“Jamuan ini adalah tanda penghargaan kepada semua guru atas dedikasi dan komitmen dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sekolah.”
“Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan menjadi tonggak utama kepada kejayaan SMK Bandar Bintangor,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di Sibu, pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran jamuan seperti ini memberi ruang untuk warga sekolah berehat daripada tugas harian, di samping meraikan usaha dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tahun.
Dalam majlis yang sama, Datuk Ding mengumumkan geran khas MRP berjumlah RM5,000 untuk Kelab SMK Bandar Bintangor bagi melaksanakan aktiviti tahunan pada tahun 2026, sebagai sokongan terhadap usaha kebajikan dan pembangunan sekolah.
Majlis turut dihadiri Pengetua SMK Bandar Bintangor, Leo Mathias Kamandan, barisan penolong kanan serta jawatankuasa Kelab Kebajikan Sekolah.-EDISI UKAS