APM Bantu Keluarkan Mangsa Terperangkap Banjir Di Menyalin Asal
BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak telah berjaya menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap di kediaman mereka berhubung kenaikan paras air bah di Rumah Panjang Menyalin Asal, Debak, malam tadi.
Jurucakap APM Debak menerusi siaran medianya pada hari ini memberitahu, pihaknya telah menerima panggilan daripada pengadu iaitu Edward Seli berhubung kejadian terbabit pada jam 5.35 petang semalam.
"Bertindak atas panggilan, seramai lima anggota APM Betong dan empat anggota APM Debak dikerahkan ke lokasi untuk melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa daripada kawasan banjir berkenaan.
"Setibanya di lokasi, para anggota mendapati air telah melimpah dari Sungai Menyalin yang hanya terletak 15 meter dari kediaman mangsa dengan paras air berarus derasnya telah naik sehingga paras dua kaki dan memerangkap mangsa," katanya.
Para anggota katanya segera melancarkan operasi mengeluarkan mangsa dari kediaman mereka dengan kejadian banjir berkenaan turut menjejaskan jambatan konkrit yang berada berdekatan kediaman mangsa.
Kesemua mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita dewasa berkenaan telah pun menginap buat sementara waktu di Rumah Panjang Menyalin Asal dengan operasi terbabit ditamatkan pada jam 7.10 malam.
"Hujan lebat sedang turun ketika berlangsung operasi itu dengan pihak APM Debak akan terus membuat pemantauan berkala ke lokasi kejadian terbabit sepanjang Monsun Timut Luar (MTL) ini.
"Pihak kami telah pun bertindak menasihat mangsa dan penduduk rumah panjang di situ agar sentiasa berjaga-jaga dan peka terhadap kenaikan paras air sungai termasuk keadaan cuaca bagi menghadapi segala kemungkinan," katanya.-EDISI UKAS