Sarawak Sasar Liputan Bekalan Air Penuh Menjelang 2030
BANGKOK: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mencapai liputan bekalan air sepenuhnya menjelang tahun 2030 menerusi Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, secara keseluruhan, 85 peratus penduduk negeri ini kini mempunyai akses kepada bekalan air, dengan peningkatan yang ketara di kawasan luar bandar.
Katanya, akses kepada bekalan air kepada komuniti luar bandar telah meningkat daripada 61.9 peratus pada 2018 kepada 71 peratus pada 2025, mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan kawasan terpencil turut mendapat manfaat daripada perkhidmatan air yang selamat dan boleh dipercayai.
“Di bawah Pelan Induk, kita akan membangunkan Grid Air utama yang luas yang memanjang dari selatan ke utara Sarawak, dilengkapi dengan Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti terpencil yang tidak boleh diakses oleh infrastruktur Grid Air.
“Di bawah sistem grid air ini, kita akan menyediakan saluran paip sepanjang kira-kira 2,800 kilometer dan membina atau menaik taraf 20 loji rawatan air utama.
“Rangkaian bersepadu ini akan meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan sistem bekalan air Sarawak dengan ketara, sekali gus melindungi keselamatan air jangka panjang untuk semua komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pleno bertajuk “Air: Pemacu Masa Depan Sarawak Yang Berdaya Tahan dan Mampan” pada Kongres & Pameran Air dan Pembangunan IWA 2025 (WDCE 2025) di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit, Bangkok di sini pada Selasa.
Menurut Premier, selain meningkatkan kebolehpercayaan dan ketersambungan di seluruh negeri, Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak akan mengintegrasikan sistem air bandar dan luar bandar, memastikan air bersih dan selamat mengalir ke komuniti yang paling terpencil sekalipun.
“Setakat ini, SAWAS telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 buah kampung dan rumah panjang di kawasan terpencil.
“Dalam fasa seterusnya, SAWAS dirancang untuk meluaskan liputan ke anggaran 1,300 buah kampung dan rumah panjang di kawasan terpencil,” ucap Premier lagi.
Bagi mengurus rangkaian air dengan lebih cekap, Premier berkata Sarawak juga memanfaatkan peralatan digital termasuk pemeteran pintar, pengesanan kebocoran dan pemetaan GIS yang kini menjadi sebahagian daripada operasi kami.
Teknologi ini jelasnya membantu mengurangkan kerugian, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan memastikan nilai maksimum untuk sumber yang digunakan.
“Tahun lepas, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak USD263.4 juta (RM1.1 bilion) untuk program penggantian paip yang komprehensif bagi menaik taraf dan menggantikan paip air yang usang merentasi kira-kira 2,700 kilometer di seluruh Sarawak.
“Dilaksanakan secara berperingkat selama lima tahun, inisiatif ini akan meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air dan Mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW), sekali gus memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan mampan kepada semua komuniti di seluruh Sarawak,” tambah Premier.
Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Eksekutif IWA Dr Kala Vairavamoorthy, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang serta dif-dif kenamaan lain. - EDISI UKAS