Sarawak Kekal Negeri Paling Komited Sokong Pendidikan Cina & UEC
MIRI: Komitmen konsisten Kerajaan Sarawak dalam menyokong pendidikan Cina terus dizahirkan apabila dua Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Miri menerima peruntukan berjumlah lebih RM1.55 juta dalam majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian.
Majlis berasingan tersebut berlangsung di Auditorium Sekolah Menengah Pei Min dan Riam Road Secondary School (RRSS), pada Selasa melibatkan penyerahan peruntukan masing-masing sebanyak RM724,549 kepada SM Pei Min dan RM833,890 kepada RRSS.
Berucap pada majlis itu, Datuk Amar Dr. Sim menegaskan bahawa dasar Sarawak yang mengiktiraf pendidikan Cina termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini memasuki tahun ke-10, sekali gus membuktikan komitmen jangka panjang kerajaan negeri terhadap pendidikan berasaskan kepelbagaian.
“Ini bukan dasar sementara. Ini adalah sebahagian daripada pelan pembinaan negeri Sarawak. Pendidikan adalah asas ‘nation building’ kita,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pendidikan Cina di Sarawak bukan bersifat eksklusif kepada satu komuniti, sebaliknya terbuka kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Menurut beliau, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada RM10 juta peruntukan tahunan Kerajaan Sarawak kepada 14 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negeri, menjadikan Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang menyediakan sokongan kewangan konsisten pada skala besar kepada pendidikan Cina.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pengurusan SM Pei Min, Ting Jack Sieng, menyatakan penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan negeri yang disifatkan telah banyak membantu sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, maju dan berdaya saing.
Beliau turut menyambut baik pengumuman pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak mulai 2026, yang turut memberi manfaat kepada lepasan UEC setara dengan aliran pendidikan lain.
Di RRSS pula, Pengarah Lembaga Pengurusan sekolah, Dato Sri Law Kiu Kiong berkata, pengiktirafan UEC oleh Sarawak merupakan langkah bersejarah yang membuka laluan pendidikan lebih luas kepada pelajar dan membuktikan pendekatan inklusif kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan.
“Dasar ini memperlihatkan bahawa pendidikan tidak dibatasi oleh kaum, sebaliknya dinilai berdasarkan keupayaan dan potensi,” katanya.-EDISI UKAS