Agro-Pelancongan Sektor Berimpak Tinggi, Koperasi Perlu Teroka Kerjasama Strategik
KOTA SAMARAHAN: Gerakan koperasi di Sarawak disaran memberi tumpuan kepada sektor agro-pelancongan yang berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkasakan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata agro-pelancongan memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk pertanian, keindahan alam semula jadi serta pengalaman berasaskan komuniti yang kini semakin mendapat perhatian pengunjung dalam dan luar negara.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor ini mampu menambah nilai kepada aktiviti pertanian apabila kebun, dusun dan ladang dijadikan tarikan pelancong.
“Pendekatan inilah yang membuka lebih banyak peluang ekonomi melalui pekerjaan baharu dan peningkatan jualan produk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Agro-Tourism: Potensi Dan Peluang Perkasa Ekonomi Koperasi yang berlangsung di sini pada Selasa.
Rodiyah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menegaskan bahawa koperasi mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar koperasi mengenal pasti aktiviti berimpak tinggi, melaksanakan kajian pasaran dan perancangan yang rapi, di samping bekerjasama dengan pihak berkepakaran bagi meneroka peluang baharu dalam sektor agro-pelancongan, pengeluaran makanan dan perkhidmatan komuniti.
Beliau turut menambah bahawa integrasi antara pertanian dan pelancongan mampu melahirkan produk serta perkhidmatan yang lebih relevan, kompetitif dan diterima pasaran.
“Dengan pendekatan ini, saya yakin koperasi dapat memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor masing-masing serta meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Rodiyah mengetengahkan pencapaian gerakan koperasi di Sarawak yang kini berjumlah 1,204 koperasi dengan nilai aset RM713.30 juta dan perolehan RM261.87 juta sehingga 30 Jun 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 316 koperasi terlibat dalam sektor pertanian, mencerminkan kekuatan kolektif gerakan koperasi dalam menguasai pasaran tertentu di negeri ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan mock cheque kepada tiga koperasi sebagai sokongan terhadap pembangunan perniagaan masing-masing.
Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad menerima RM13,600 bagi membiayai sebahagian kos pembelian baja serta kerja-kerja membaik pulih kawasan tanaman Pusat Pemindahan Koperasi yang terjejas akibat banjir.
Koperasi Sungei Marong Agro Farm Samarahan Berhad menerima RM12,500 bagi menampung kos pengurusan dan promosi produk serta perkhidmatan dalam industri hospitaliti.
Sementara itu, Koperasi Kampung Lubok Punggor Simunjan Berhad menerima RM146,000 untuk membiayai sebahagian kos menaik taraf bangunan kedai runcit dan stor koperasi.
Rodiyah menyeru agar semua koperasi memanfaatkan bantuan dan peluang pembangunan yang disediakan melalui program Agro-Tourism sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran pengurusan, memperkukuh strategi pemasaran dan memperluas jaringan kerjasama dengan agensi berkaitan.
Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak, Norazlan Anuar, Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latif Shamsuddin, Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sarawak, Ahmad Zaiwin Kassim.-EDISI UKAS