Program Kepimpinan Malaysia–UK Hasilkan Kohort Graduan Kedua di United Kingdom
UNITED KINGDOM: Program Kepimpinan Malaysia–UK sekali lagi mencatat kejayaan apabila seramai 29 pemimpin kanan dari Malaysia dan rantau ini menamatkan pengajian kohort kedua Professional Certificate in Contemporary Leadership (PCCL) di Markfield Institute of Higher Education (MIHE), United Kingdom.
Program anjuran Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) bersama MIHE dan Institut Pengurusan Sarawak (MASA) itu melibatkan pegawai kanan kerajaan, eksekutif korporat, ahli akademik serta pemimpin komuniti.
Dalam pada itu, perjalanan kepimpinan selama tiga bulan tersebut berakhir dengan minggu residensi di Markfield dari 24 hingga 30 November, termasuk sesi akademik khas di University of Oxford, Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dan Linacre College.
Menurut Dr Jee Teck Weng dari Swinburne University of Technology Sarawak, PCCL memberi impak transformasi terhadap pendekatan kepimpinannya, manakala Profesor Dr Thomas Kana @ Kamarudin Bin Kana dari UNIMAS menyifatkan program itu sebagai usaha melahirkan pemimpin masa depan berasaskan integriti dan inklusiviti.
Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Fadzli Ngatmi turut menegaskan kepimpinan sebagai pemangkin pembangunan insan, manakala peserta antarabangsa, Norhanie Lao Mama dari Tudungpeople Philippines, menyatakan program tersebut mengukuhkan kepimpinan adaptif dan reflektif.
Di samping itu, peserta kohort kedua terdiri daripada wakil kementerian, jabatan negeri Sarawak, serta universiti termasuk UNIMAS, Swinburne Sarawak, i-CATS University College, UiTM, UPM dan INCEIF, selain sektor korporat, kejuruteraan, takaful, perundingan dan kemanusiaan, selain penyertaan peserta antarabangsa dari Filipina yang memperluas peluang rangkaian global.
Para graduan berikrar untuk terus memperkukuhkan kepimpinan beretika dan berdaya saing global melalui latihan lanjutan serta penglibatan aktif sebagai alumni, sekali gus diyakini akan menyumbang kepada kecemerlangan organisasi dan kerjasama antarabangsa.-EDISI UKAS-