Kerjasama PDRM, Masyarakat Tunjang Keamanan Betong
BETONG: Hubungan erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat terus menjadi tunjang utama dalam memastikan keamanan serta keharmonian di daerah ini sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kerjasama berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan Betong kekal sebagai kawasan yang aman, terkawal dan sejahtera.
Menurut beliau, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan, memperkukuh perpaduan serta menjamin kesejahteraan bersama.
“Kita perlu bersama-sama memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab dalam menjaga keamanan, memperkukuh perpaduan serta menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ramah Tamah Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen PDRM dalam membanteras jenayah, khususnya penyalahgunaan dadah yang boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda.
“Usaha membanteras dadah amat penting kerana kita tidak mahu ia menjadi wabak yang merosakkan masa depan generasi muda di Betong,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti judi dalam talian dan menggesa pihak polis agar terus memperhebat pemantauan serta penguatkuasaan bagi menangani gejala tersebut.
Dalam majlis tersebut, Datuk Gerald turut menyampaikan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Surau An-Najah IPD Betong serta RM5,000 kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Betong sebagai penghargaan kepada keluarga anggota yang sentiasa menyokong tugas pasukan keselamatan.
Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Betong DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek, bersama para ketua cawangan dan pegawai kanan IPD Betong.-EDISI UKAS