Ramah Tamah Aidilfitri KEMAS Sarikei Erat Perpaduan Masyarakat Meradong
MERADONG: Suasana Aidilfitri di Meradong terus diserikan dengan penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarikei yang berlangsung meriah, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sambutan Hari Raya bukan sahaja penting kepada umat Islam, malah turut menjadi medium untuk seluruh rakyat tanpa mengira agama berkongsi kegembiraan serta memahami budaya masing-masing melalui amalan seperti rumah terbuka.
“Amalan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kaum, malah memupuk sikap saling hormat dan bermaafan, sekali gus memperkukuh perpaduan serta keharmonian negara,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerjasama dan perpaduan merupakan kunci utama dalam membentuk organisasi yang cemerlang, khususnya dalam usaha membangunkan masyarakat luar bandar serta memupuk semangat muhibah antara penduduk, jabatan kerajaan dan pemimpin.
Dalam majlis tersebut, Datuk Ding turut mengumumkan penyaluran Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2,000 kepada Pusat Sumber KEMAS Sungai Baron.
Selain itu, beliau juga mendedahkan bahawa akan memohon Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2027 untuk menaiktaraf bangunan pusat sumber berkenaan, termasuk kerja-kerja pendawaian elektrik, pemasangan penghawa dingin serta pembaikan bumbung yang bocor.-EDISI UKAS