Yang di-Pertua Negeri Sarawak Serikan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Krismas
KUCHING: Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Krismas di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan saling menghormati yang menjadi asas keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak, khususnya dalam meraikan perayaan keagamaan secara bersama.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu yang hadir, termasuk pemimpin masyarakat serta ketua-ketua agama Kristian, sekali gus menzahirkan sokongan terhadap amalan toleransi beragama dan perpaduan antara komuniti di negeri ini.
Majlis makan malam berkenaan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama isteri Datin Amar Enn Ong Seok Ean, Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau, Pengerusi Association of Churches in Sarawak Bishop Donald Jute serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS