Pendidikan Berkualiti Asas Kecemerlangan Anak-Anak
SARIKEI: Pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang kondusif menjadi asas penting dalam membentuk masa depan cerah untuk kanak-kanak, khususnya di peringkat tabika dan taska.
Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata usaha menyediakan asas pendidikan awal yang kukuh perlu digerakkan secara bersama oleh pendidik, ibu bapa dan komuniti setempat.
Menurutnya, kejayaan anak-anak menamatkan sesi persekolahan bukan hanya hasil ketekunan mereka, tetapi turut disokong oleh dedikasi para pendidik dan pembantu pendidik yang sentiasa komited menjalankan amanah.
“Majlis apresiasi seperti ini dapat membakar semangat kanak-kanak untuk terus cemerlang. Ia juga menjadi penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik dengan penuh kesabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan, dalam Majlis Hari Apresiasi Anak-Anak Tadika dan Taska KEMAS Parlimen Sarikei 2025, di sini pada Khamis.
Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan pembelajaran antara rumah dan sekolah, kerana peranan ibu bapa amat penting dalam memantau perkembangan anak-anak.
Selain itu, Datu Michael memaklumkan bahawa kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS Sarikei telah menyertai pelbagai acara sehingga ke peringkat zon dan kebangsaan menerusi Hari Potensi KEMAS 2025.
Beliau menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada para peserta, guru pembimbing dan seluruh warga KEMAS atas usaha serta dedikasi yang telah membuahkan kejayaan.
Katanya lagi, pendidikan awal perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia membentuk asas ilmu, kemahiran dan sahsiah diri kanak-kanak sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, demi menjamin masa depan yang lebih terarah dan terjamin.-EDISI UKAS