Projek Pemuliharaan Tebingan Batang Mukah Mula 6 April Ini, Dijangka Siap 2028
KUCHING: Projek Pemuliharaan Tebingan Batang Mukah di antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian akan dimulakan secara rasmi pada 6 April ini, dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun sebelum dijangka siap sepenuhnya pada 5 April 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, projek bernilai RM40 juta itu dilaksanakan bagi mengukuhkan struktur tebing sungai yang berdepan risiko hakisan serta menjamin keselamatan komuniti setempat.
“Di samping itu, projek ini turut dilaksanakan bagi mengatasi fenomena hakisan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat terus terjamin.
“Pada masa sama, ia bertujuan untuk mengekalkan perkampungan tradisi di Kampung Datuk dan Kampung Penakub Hilir serta Permai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat serah tapak mula projek berkenaan di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Kuching, pada Khamis.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah DID Sarawak, Ir. Ts. Faizal Suki, dengan DID Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana utama.
Perunding Muhandis Sdn. Bhd. dilantik sebagai perunding projek, manakala Maxmas Holding Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang akan melaksanakan kerja pembinaan.
Dalam pada itu, Royston menekankan kepentingan kerjasama erat antara semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan, perunding dan kontraktor bagi memastikan kelancaran projek.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek tersebut.
Hadir sama salam mesyuarat itu ialah Timbalan Residen Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Pegawai Khas Pusat Khidmat Mukah Almalhakim Norshidi.-EDISI UKAS