Naik taraf Dewan Suarah Kuching, Stadium Sarawak berjalan mengikut jadual
KUCHING: Kerja-kerja naik taraf Dewan Suarah Kuching dan Stadium Sarawak kini berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan projek menunjukkan kemajuan positif meskipun terdapat persepsi awam mengenai kelewatan.
Menurut beliau, struktur unik Dewan Suarah Kuching memerlukan pendekatan teknikal khusus termasuk dalam kerja-kerja pembaikan bumbung yang melibatkan kos tinggi.
“Sebagai bangunan yang mempunyai struktur yang berbeza daripada bangunan biasa, kerja-kerja pembaikan termasuk bumbung memerlukan kos yang tinggi dan proses yang lebih teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Borneo100 Triathlon 2026 di sini pada Khamis.
Jelasnya, kemajuan semasa projek adalah memuaskan dan tidak wajar dilabel sebagai perlahan.
“Saya melihat kemajuan yang dicapai adalah baik, malah ada pihak memaklumkan projek ini berada di hadapan jadual,” ujarnya.
Tambah beliau, projek berkenaan sebelum ini berdepan kekangan peruntukan, namun kini dipercepatkan bagi memastikan keselamatan serta pemulihan fungsi bangunan tersebut sebagai salah satu mercu tanda di Kuching.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa kerja naik taraf Stadium Sarawak yang akan menjadi venue perasmian temasya Sukan SEA 2027 turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan.
“Kerja-kerja sedang berjalan dengan baik dan mengikut masa yang ditetapkan, malah dilaksanakan secara berterusan termasuk pada waktu malam,” jelasnya.
Menurut beliau, naik taraf stadium tersebut melibatkan perubahan menyeluruh termasuk pemasangan tempat duduk baharu serta penambahbaikan struktur dalaman bagi memenuhi standard kemudahan sukan moden.
Sehubungan itu, beliau yakin kedua-dua projek berkenaan akan siap seperti dirancang dan mampu meningkatkan kemudahan infrastruktur sukan serta pelancongan negeri.-EDISI UKAS