Semangat Perpaduan Aidilfitri Wajar Diteruskan Dalam Kehidupan Seharian
PUSA: Semangat perpaduan dan muafakat yang dizahirkan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri wajar diteruskan dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, sambutan Aidilfitri bukan sahaja signifikan kepada umat Islam, malah menjadi wadah penting untuk masyarakat berbilang kaum dan agama berkongsi kegembiraan serta memahami budaya antara satu sama lain.
Menurut beliau, amalan rumah terbuka memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan mengenali kepelbagaian budaya melalui elemen seperti pakaian, makanan dan adat resam.
“Semangat perpaduan dan muafakatan yang kita tunjukkan pada hari ini wajar diteruskan bukan sahaja dalam majlis seperti ini, malah dalam aspek kehidupan dan tugasan harian kita.
“Dengan adanya hubungan yang erat dan saling hormat menghormati, segala urusan akan menjadi lebih mudah dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Daerah Pusa pada Rabu.
Tambahnya, majlis seumpama itu juga wajar dijadikan platform untuk memperkukuh silaturahim, memperluas jaringan kerjasama serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli yang turut berucap berkata, kehadiran masyarakat dalam majlis berkenaan bukan sekadar memenuhi tuntutan tradisi, tetapi menjadi wahana penting dalam mempererat hubungan yang sedia terjalin.
“Saya menyeru agar semangat ramah tamah ini diterjemahkan ke dalam budaya kerja kita seharian.
“Biarlah keakraban yang terjalin pada hari ini menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih dinamik demi kemajuan Daerah Pusa,” ujarnya.
Manakala ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor pula berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya merupakan lambang kemenangan, kesyukuran dan perpaduan yang mengajak masyarakat kembali kepada fitrah serta menyemai nilai keikhlasan dan saling memaafkan.
“Majlis seperti ini menjadi wadah penting dalam mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin, penjawat awam dan masyarakat.
“Hubungan yang erat ini amat penting dalam memastikan segala usaha pembangunan dan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksankan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Pegawai Khas kepada Premier Sarawak Helmi Azmi, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), agensi kerajaan serta masyarakat setempat.-EDISI UKAS