SIBU: Seramai sembilan penerima Program Rumah Spektra Permata (RSP) Kemuyang menerima kunci rumah masing-masing dalam satu majlis penyerahan yang disempurnakan pada Rabu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, rumah-rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 110 unit disediakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi Fasa 1 projek penempatan berkenaan, selain 70 unit lagi yang dibangunkan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
“Dengan penyerahan hari ini, baki rumah yang masih belum diagihkan hanyalah 10 unit daripada HDC dan tujuh unit daripada LCDA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Contoh RSP Kemuyang, di sini.
Menurutnya, kesemua penerima kali ini terdiri daripada penduduk asal Kampung Hilir dan Kampung Datu Lama, termasuk mereka yang sebelum ini tinggal di tepi sungai dan berisiko dari segi keselamatan.
“Atas arahan YAB Premier Sarawak supaya mengenal pasti keluarga yang tinggal di kawasan berbahaya, kita telah menjalankan proses tapisan sejak enam bulan lalu.
“Kumpulan yang menerima kunci hari ini adalah antara mereka yang layak dan telah dikenal pasti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Datuk Dr. Annuar berkata baki unit yang masih kosong akan dipertimbangkan untuk diagihkan kepada keluarga tambahan susulan perancangan pembinaan semula Kampung Datu Lama.
“Ada keluarga yang tinggal beramai-ramai dalam satu rumah dan mungkin tidak dapat ditempatkan di Kampung Datu Lama.
“Ada juga yang tidak menerima pampasan atau tidak tersenarai sebagai pewaris, namun berasal dari kawasan tersebut. Mereka juga boleh dipertimbangkan untuk penempatan di sini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa penduduk telah menetap di Kemuyang lebih setahun, manakala masjid di kawasan tersebut hampir siap dan dijangka boleh digunakan menjelang Ramadan tahun hadapan.–EDISI UKAS