KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berada pada tahap kesiapsagaan dalam menghadapi kemungkinan berlakunya banjir susulan keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, pihaknya telah melaksanakan persediaan lebih awal termasuk penyelenggaraan sistem saliran serta pemeriksaan aset bagi memastikan operasi dapat digerakkan dengan segera sekiranya berlaku banjir.
“Pihak Dewan Bandaraya telah melakukan persiapan lebih awal bagi menangani masalah ini. Kita telah mengarahkan kakitangan untuk memastikan sistem perparitan di kawasan DBKU diselenggara lebih awal, termasuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan aliran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas membuat pemeriksaan aset-aset banjir DBKU di sini, pada Khamis.
Menurutnya, selain kerja-kerja penyelenggaraan, DBKU turut memperkukuh pemantauan melalui pelaksanaan Pusat Khidmat 24 Jam (PK24J) yang berfungsi sebagai pusat penyelaras maklumat dan aduan sepanjang masa.
“Jadi kita juga ada pusat khidmat PK24J untuk memantau. Ini adalah satu persediaan oleh Dewan Bandaraya Kucing Utara bukan untuk hanya menangani masalah banjir tetapi meliputi semua aktiviti-aktiviti seluruh bandaraya ini supaya kita dapat memantau apa-apa kejadian yang terjadi di kawasan kita,” ujarnya.
Difahamkan, DBKU telah menyediakan pelbagai jentera dan kelengkapan seperti ‘backhoe loader’, ‘tipper truck’, lori berbumbung, ‘highmast mobile lighting’, kenderaan pikap, sebuah bot, jaket keselamatan, traktor, ‘safety tape’ serta pelbagai peralatan sokongan lain untuk digunakan mengikut keperluan lapangan.
“DBKU turut menyediakan sebuah generator sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan tertentu yang memerlukan penggunaan genset,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, pihaknya juga telah mengenal pasti 22 kawasan titik panas banjir yang dipantau secara rapi sepanjang musim tengkujuh.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan DBKU turut bersedia dengan penempatan mangsa sekiranya berlaku banjir menerusi 56 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disediakan di kawasan-kawasan DUN di bawah seliaan DBKU, dengan kapasiti purata antara 150 hingga 200 orang bagi setiap pusat. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee & Muhammad Naseem