Tindakan Segera Diperlukan Terhadap Sekolah Terjejas Banjir di Baleh
KAPIT: Sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Baleh yang sering terjejas banjir, memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pembelajaran pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai, menggesa Jabatan Pendidikan Bahagian Kapit supaya mengambil langkah segera untuk menanganinya.
“Saya memohon kepada pihak Jabatan Pendidikan Bahagian Kapit untuk mengambil tindakan tentang sekolah-sekolah yang selalu mengalami banjir khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Sempili dan SK Sungai Kain,” katanya semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baleh pada Khamis.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan infrastruktur di SMK Baleh, satu-satunya sekolah menengah di DUN Baleh.
Menurut beliau, sokongan berterusan terhadap sekolah pedalaman adalah penting agar pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif dan setaraf dengan sekolah di kawasan bandar.
Selain itu, Nicholas menggalakkan pelajar di kawasan Baleh untuk melanjutkan pelajaran di SMK Baleh kerana sekolah berkenaan mampu menyediakan pendidikan berkualiti walaupun terletak jauh di pedalaman.
Beliau juga berkongsi mengenai usaha Kerajaan Sarawak yang terus memperkasakan sektor pendidikan dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian.-EDISI UKAS