ADUN Tellian Turun Padang, Pastikan Projek Pembangunan Luar Bandar di Mukah Berjalan Lancar
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengadakan lawatan kerja ke Ulu Baoh, Ulu Sebakong dan Dijih pada Rabu bagi meninjau kemajuan projek pembangunan luar bandar dan memastikan manfaatnya sampai kepada penduduk setempat.
Lawatan berkenaan melibatkan tinjauan projek, penyerahan projek siap serta pemeriksaan mengejut terhadap projek yang sedang dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan mengikut perancangan dan memberi manfaat optimum kepada penduduk.
Lawatan beliau ke Ulu Baoh dimulakan dengan menyerahkan Projek Bina Baru Dewan Serbaguna Ulu Baoh bernilai RM400,000 yang tertangguh sebelum ini akibat isu tapak dan ketiadaan kontraktor, namun berjaya disiapkan hasil kerjasama pelbagai agensi.
Royston turut meninjau Projek Naik Taraf Gelanggang Serbaguna SK Baoh Ulu bernilai RM150,000 yang menunggu proses cabutan undi serta memaklumkan pembaikan pentas konkrit sekolah telah siap melalui gotong-royong PIBG.
Pada sebelah petang, ADUN Tellian itu meninjau Projek Bina Baru Jambatan Besi di Rumah Remy, Nanga Sebemban bernilai RM450,000 di bawah PKBS yang dijangka meningkatkan akses penduduk setempat.
Beliau juga meninjau projek naik taraf jalan akses sepanjang 11 kilometer dari Dijih ke Nanga Sebemban yang dijalankan secara berfasa melalui peruntukan JPD.
Seterusnya, Royston ke Rumah Meling, Ulu Baoh, untuk meninjau projek naik taraf jalan dan jeti bernilai RM100,000 serta mendengar keluhan penduduk berkaitan ketiadaan bekalan air terawat, elektrik dan isu hakisan.
Sebanyak RM1.3 juta telah diluluskan bagi kerja pembendungan hakisan di kawasan tersebut.-EDISI UKAS