Lelaki Hilang Dibawa Arus Dalam Insiden Bot Dipukul Ombak di Perairan Tanjung Sirik
DARO: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama seorang lagi mangsa dipukul ombak besar di perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit, pagi tadi, sehingga menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam laut.
Menurut maklumat awal yang diterima Pejabat Pertanyaan Balai Polis Daro sekitar jam 11 pagi, orang awam memaklumkan bahawa kejadian tersebut melibatkan dua mangsa.
Mangsa yang terselamat, Kaharruddin Buang, 42 tahun, berkata, insiden berlaku sekitar jam 9 pagi ketika mereka melalui perairan Tanjung Sirik.
Bot yang dinaiki bersama abang iparnya, Aldin Rakli, 59 tahun, secara tiba-tiba dipukul ombak besar sebelum kedua-duanya tercampak ke laut.
Kaharruddin berjaya berenang ke pantai untuk menyelamatkan diri, namun abang iparnya gagal mencapai daratan dan dipercayai hilang dibawa arus.
Difahamkan, kedua-dua mereka bertolak dari Kampung Betanak menuju Kuala Matu menggunakan sebuah bot yang baru siap dibina di kampung tersebut dan sedang dalam perjalanan untuk dibawa ke Kuala Matu sebelum kejadian berlaku.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijangka digerakkan melibatkan pihak berkuasa serta komuniti setempat bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Keterangan lanjut akan menyusul setelah siasatan diteruskan.-EDISI UKAS