Lawatan UPPANS Ke JKKN Melaka & Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Tingkat Kualiti Pengurusan Acara
MELAKA: Program lawatan Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) ke bandaraya bersejarah Melaka diteruskan dengan kunjungan rasmi ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, pada Khamis.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan UPPANS dalam aspek pengurusan acara dan protokol yang lebih berkualiti di Sarawak.
Rombongan terdiri daripada 11 pegawai dan diketuai oleh Pengarah UPPANS, Datu Hamdan Sharbini.
Ketibaan delegasi di Kompleks JKKN Melaka disambut oleh Pengarahnya, Ezlina Alias, bersama Timbalan Pengarah, Fiza Farikha Md. Yassin serta barisan pegawai jabatan.
Dalam sesi taklimat, rombongan diberi penerangan mengenai peranan JKKN Melaka, termasuk pengurusan program budaya, pelaksanaan Dasar Kebudayaan Negara 2021, status Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia serta pengenalan kepada karya agung negeri tersebut.
Sesi berkenaan menjadi landasan untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan dan meneroka kemungkinan kerjasama strategik melibatkan bidang protokol, kebudayaan dan warisan.
Delegasi kemudiannya dibawa meninjau fasiliti kompleks seperti bilik seminar, Auditorium Panggung Seri dan studio tari, sebelum disajikan persembahan kebudayaan mewakili komuniti Melayu Melaka, Chetti dan Portugis.
Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, yang disambut oleh Pengarah Arkib Negeri Melaka, Mohd Saleh Alias.
Di lokasi berkenaan, delegasi diberi penerangan mengenai fungsi Arkib Negara Malaysia dan sejarah pembukaan memorial tersebut, di samping meninjau pameran sejarah kemerdekaan negara dan proses pembentukan Malaysia.
Secara keseluruhannya, lawatan berkenaan membuka ruang yang lebih luas untuk perkongsian pengetahuan serta mempererat hubungan kerja antara UPPANS dan agensi kebudayaan di Melaka.-EDISI UKAS