Sultan Hassanal Bolkiah Berkenan Terima Mengadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Brunei di Istana Nurul Iman di sini pada Isnin.
Turut berkenan berangkat pada majlis menghadap itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.
Kerabat-kerabat Diraja turut berkenan berangkat semasa majlis mengadap tersebut.
Sebelum majlis mengadap itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang diiringi isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di Istana Nurul Iman pada jam 11.30 pagi.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Selepas majlis mengadap itu, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menghadiri majlis santap tengah hari di Istana berkenan.
Usai majlis santap itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri berangkat pulang bersama rombongan dari Istana pada jam 1 petang.
Seterusnya pada jam 3 petang, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dijangka melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jalan Pengiran Babu Raja dan bertahlil di Kubah Makan Diraja dan menghadiri jamuan malam bersama delegasi.
Manakala pada hari ketiga lawatan rasmi, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta rombongan akan mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei dan menyelusuri Sungai Brunei sebelum berangkat pulang ke Sarawak pada jam 2.30 petang. -EDISI UKAS