Prestasi Akademik SK Merpati Jepang 2025 Catat Peningkatan, Kokurikulum Membanggakan
KUCHING: Pencapaian murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang dalam Sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menunjukkan peningkatan dan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) pula dalam prestasi membanggakan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang Hasim Seli berkata, keputusan itu hasil daripada kerjasama para guru, ibu bapa dan murid yang bertungkus lumus dalam mencatat kejayaan.
“Kita telah menyaksikan peningkatan dari segi peratusan murid yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 3 (TP3) di dalam Ujian Akhir Sesi Akademik 2025.
“Sementara itu, dalam UP-DLP Sarawak 2025 pula kita berjaya mencapai 85.71 peratus dalam mata pelajaran Sains, 72.61 peratus Matematik dan 96.42 peratus lagi dalam Bahasa Inggeris.
“Saya menyeru agar murid-murid terus mengasah potensi diri dan menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya. Bagi yang belum berjaya, jangan pernah putus asa. Jadikan hari ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit dan mencapai kejayaan cemerlang pada masa akan datang,” katanya semasa berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan Anak-Anak Permata SK Merpati Jepang di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, seramai 90 orang murid Tahun 1 hingga 6 menerima Anugerah Murid Cemerlang Akademik dan 33 orang pelajar lain menerima Anugerah Mata Pelajaran Terbaik.
Sementara itu, seramai 84 orang murid-murid Tahun 6 menerima cenderamata daripada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang akan melanjutkan pengajian di sekolah menengah pada tahun 2026.
Turut diraikan penerima Anugerah Khas Murid bagi kategori Anugerah Nilam, Anugerah Pengisian Rekod Ains Terbanyak, Anugerah Khas Permata Akademik, Anugerah Khas Permata Sahsiah dan Anugerah Khas Permata Kokurikulum.
Beliau turut mengesahkan SK Merpati Jepang berjaya mengukir nama dalam bidang kokurikulum apabila beberapa orang murid berjaya mewakili sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“Tahun 2025 telah menyaksikan anak-anak didik kita mengukir nama di persada daerah, negeri, malah kebangsaan dalam sukan bola sepak, Muay Thai dan squash. Mereka berjaya merangkul juara dan naib juara dalam sukan tersebut.
“Tidak ketinggalan pasukan ‘Choral Speaking’ di bawah bimbingan Cikgu Wong Lin bersama guru-guru Bahasa Inggeris yang buat kali pertama berjaya merangkul juara Daerah Kuching dan berjaya ke peringkat negeri Sarawak.
“Pencapaian ini adalah bukti bahawa pendidikan menyeluruh yang holistik telah diterapkan dengan jayanya,” ujarnya lagi.
Mengenai perancangan tahun 2026, Hasim menjelaskan pihak sekolah telah merangka pelbagai inisiatif baharu yang berorientasikan pembelajaran pada abad ke-21.
“Menjelang tahun 2026, pihak sekolah akan memperkasakan program robotik dan ‘drone’ serta meningkatkan literasi digital di kalangan guru dan murid,” jelasnya.
Beliau turut menggesa guru, ibu bapa dan murid bekerjasama membentuk ekosistem pendidikan yang bukan sahaja berfokuskan kepada keputusan tetapi juga berasaskan nilai dan pembentukan sahsiah yang unggul.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati Jepang Mohamad Faizal Lamat, Penolong Kanan Pentadbiran SK Merpati Jepang Sapiah Bujang, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Azizah Sulong, Penolong Kanan Kokurikulum Azman Hamdan dan Timbalan PIBG SK Merpati Jepang Ts. Abang Kassim Yusuf Kadir. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Awang Mohamad Razif bin Awang Yusuf